Pilih Bahasa

Pengawal keselamatan maut kereta rempuh pokok

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah motosikal lalu terbabas dan melanggar pokok di Jalan Tuaran Bypass, dekat Kalansanan, Inanam, di sini malam tadi.

Kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa Richard Mukoi, 38, maut di tempat kejadian selepas parah di beberapa anggota badan.

Keadaan kereta mangsa dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass, dekat Kalansanan, Inanam. Gambar SNT/Ihsan Polis

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian motosikal ditunggang lelaki berusia 23 tahun dan kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa dari arah pusat bandar raya menuju ke arah Tuaran.

“Ketika penunggang motosikal berada di lorong kiri, kereta dipandu mangsa yang datang dari arah sama melanggar motosikal dari arah belakang dan penunggang terjatuh serta terseret.

“Kenderaan dipandu mangsa turut pula terbabas di kiri jalan lalu melanggar pokok di tepi jalan.

“Akibat daripada itu, pemandu tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Likas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata penunggang yang cedera dibahagian badan, kaki dan tangan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan pemandu kereta Proton Persona yang tersepit. – SabahNewsToday