Pilih Bahasa

Pengedar dadah diberkas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis memberkas seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM8,989 di sebuah rumah di Kampung Dasar Baru, Jalan Tengah Nipah, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek berusia 18 tahun itu ditahan pukul 9.30 pagi menerusi Operasi Sarang.

Suspek berusia 18 tahun dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan dan pihak polis sedang menyiasat dalang yang membekalkan dadah kepada suspek. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Suspek dilihat mencurigakan seterusnya pihak polis cuba menjalankan pemeriksaan terhadap badan suspek namun suspek bertindak melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dipakai suspek menemukan tiga peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 59.93 gram dianggarkan bernilai RM8,989,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan suspek adalah pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan berkenaan.

Polis merampas dadah seberat 59.93 gram dadah dianggarkan bernilai RM8,989 di dalam beg silang suspek. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan polis kini menyiasat pihak yang terbabit membekalkan dadah kepada suspek.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday