Pilih Bahasa

Pengedar dadah ditahan, dadah bernilai lebih RM9,000 dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang lelaki warganegara Filipina dipercayai pengedar dadah ditahan menerusi Operasi Ice Breaker di kawasan Kampung Puyut, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, suspek berusia 22 tahun itu ditahan bersama dadah bernilai RM9,732 yang ditemukan di dalam beg silang suspek.

Suspek dan dadah yang dirampas daripadanya. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata pihaknya yang sedang menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan cuba memeriksa suspek dalam keadaan mencurigakan namun suspek bertindak agresif.

“Suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan antara pihak polis dan suspek. Bagaimanapun suspek berjaya ditahan.

“Pemeriksaan kemudian dilakukan di dalam beg silang miliknya dan menemukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 66.88 gram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menemukan bungkusan berisi tiub lutsinar dipercayai digunakan sebagai bungkusan dadah sebelum dijual dan 20 gulung kertas timah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine.

“Suspek ditahan dan barang rampasan bernilai RM9,732 dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. –SabahNewsToday