Pilih Bahasa

Pengedar dadah ditahan miliki dadah bernilai lebih RM7 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis menahan seorang pengedar dadah warganegara Filipina dan merampas 52.70 gram syabu dalam Operasi Tapis di kawasan PPRT Jalan Tengah Nipah, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata dalam kejadian pukul 4.30 petang, lelaki berusia 40an yang menunggang motosikal itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Gambar komposit menunjukkan suspek (kiri) dan dadah dipercayai syabu seberat 52.70gram dalam sampul surat (kanan) milik suspek. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

“Suspek kemudian bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika pihak polis cuba menjalankan pemeriksaan terhadapnya namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan menemui satu sampul surat di bahagian hadapan poket seluar suspek.

“Pemeriksaan lanjut di dalam sampul berkenaan, kita menemui dua peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan seberat 52.70g bernilai RM7,905,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek kemudian ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday