Pilih Bahasa

Pengemis jalanan semakin bertambah, 45 berjaya ditahan JIM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Masalah pengemis di jalanan sekitar daerah ini semakin membimbangkan ekoran jumlah mereka bertambah setiap hari.

Tinjauan Sabah News Today di lokasi mendapati, ada juga ibu bapa yang sanggup menggunakan anak mereka meminta simpati di tepi jalan kawasan pusat bandar di simpang bulatan, Jalan Persisiran berhampiran Masjid Al-Kauthar, di sini.

Antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu (Sapu) di sekitar daerah Tawau semalam. Gambar SNT / Ihsan JIM Tawau

Mereka akan mengetuk cermin kenderaan dan menunjukkan isyarat meminta wang daripada pemandu. Jika tidak diberi, mereka akan bersandar di kenderaan atau mencuba nasib ke kenderaan lain yang berada di belakang.

Terdapat beberapa kanak-kanak dan ibu yang mendukung bayi menjadikan restoran atau kedai makan untuk menjalankan aktiviti meminta wang daripada orang awam.

Mereka akan menunjukkan simpati terhadap pelanggan yang sedang makan supaya diberikan wang.

Ada juga sesetengah pengemis jalanan yang bersikap biadab dengan mengambil makanan orang awam jika tidak diberi wang. Hal ini akan menyebabkan imej daerah Tawau akan terjejas jika tidak dibendung.

Ruang legar Bank juga adalah destinasi pengemis jalanan mencari simpati. Mereka akan duduk di luar bank berkenaan sambil meletakkan bayi di lantai kawasan pejalan kaki untuk mendapat belas kasihan.

Antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu (Sapu) di sekitar daerah Tawau semalam. Gambar SNT / Ihsan JIM Tawau

Ekoran daripada kejadian itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau menjalankan Operasi Bersepadu (Sapu) di sekitar daerah ini, semalam.

Penolong Pengarah JIM Tawau, Abdul Samat Wahab berkata seramai 45 pengemis jalanan warganegara Filipina ditahan di kawasan bulatan berhampiran Masjid Al-Kauthar, ruang legar bank, dan kawasan-kawasan tumpuan utama pengemis menjalankan rutin meminta wang.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, seorang wanita sanggup menggadaikan nyawa melarikan diri ke laut bersama bayinya bagi mengelak dicekup penguatkuasa Imigresen namun berjaya ditahan.

Seorang wanita sanggup menggadaikan nyawa melarikan diri ke laut bersama bayinya bagi mengelak dicekup penguatkuasa Imigresen namun berjaya ditahan. Gambar SNT / Ihsan JIM Tawau

“Daripada jumlah tersebut, 19 wanita, 13 kanak-kanak lelaki, 12 kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa berusia tiga bulan hingga 89 tahun ditahan.

“Semua mereka dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) untuk siasatan lanjut,”katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, seramai 20 penguatkuasa termasuk 3 pegawai terbabit dalam operasi yang bermula pukul 12.30 tengah hari. -SabahNewsToday