Pilih Bahasa

Pengenalan tulisan khat patut dibuat sebagai pilihan sahaja

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Cadangan untuk melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah seluruh negara perlu dibuat sebagai pilihan mata pelajaran.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata pembelajaran tulisan khat berkenaan seharusnya tidak menjadi mata pelajaran wajib.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew pada sidang media. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Berkenaan isu ini, saya berpendapat bahawa biarlah ibu bapa dan pelajar itu sendiri yang memilih sama ada mahu mengambil subjek tulisan khat ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Katanya dalam hal berkenaan, kerajaan pusat tidak merujuk terlebih dahulu kepada Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah yang akan dikuatkuasakan terhadap semua pelajar Tahun Empat pada 2020.

Tambahnya Menteri Pendidikan Malaysia sepatutnya lebih peka dan menghormati autonomi yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi (K-Pi).

“Kerajaan negeri (K-Pi) perlu berbincang bersama dengan kerajaan pusat berkenaan mana-mana dasar kebangsaanyang berkaitan dengan pendidikan di negeri ini.

“Kita kena fikir juga bebanan murid sekolah yang dihadapi masa kini dengan kerja sekolah dan dan mata pelajaran yang banyak, inikan lagi apabila menambah lagi bebanan berkenaan,” katanya. -SabahNewsToday