Pilih Bahasa

Pengertian ibadah korban perlu diterjemahkan dalam diri umat Islam: Jamawi

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KEMABONG: Umat Islam harus mengetepikan kepentingan diri demi kebaikan masyarakat khususnya dalam memupuk semangat cintakan negara yang didiami rakyat berbilang bangsa, agama dan kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar berkata sikap itu perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian bagi mengelak berlaku perpecahan dan menggugat keharmonian rakyat negara ini.

Jamawi (tiga dari kiri) ketika menyerahkan sumbangan korban kepada salah seorang pengerusi masjid untuk ibadah korban tahun ini. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

“Sempena Aidiladha ini, umat Islam perlu menghayati pengertian disebalik ibadah korban. Ia membawa banyak makna termasuk mengetepikan sikap pentingkan diri sendiri.

“Hikmah daripada Ibadah korban juga sebenarnya mengajar kita agar mengutamakan golongan yang memerlukan selain mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan lembu korban kepada masjid dan surau sebanyak tujuh ekor di kawasan itu baru-baru ini.

Antara masjid dan surau yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Masjid Kampung Bamban, Kampung Pantogan, Baru Jumpa, Kuala Tomani, Kelas Saudara Kita Pekan Tenom, Madarasah Tahfiz  Nur Aisyah dan Pusat Khidmat Adun Kemabong.

Jamawi yang juga Ketua Badan Belia Usia Sabah berkata daging korban tersebut akan diagih-agihkan kepada golongan asnaf saudara baru dan golongan yang memerlukanya yang diselaraskan oleh pengerusi jawatankuasa masjid yang terlibat .

“Tahun depan kita akan perluaskan lagi sumbangan ini ke kampung kampung lain di kawasan Kemabong mengikut giliran” katanya. – SabahNewsToday