Pilih Bahasa

Penggiat Industri dipelawa sertai sesi bicara santai bersama Madius malam ini

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Penggiat industri termasuk pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini dipelawa untuk menyaksikan bicara santai bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, malam ini.

Menurut kenyataan Pejabat Akhbar MTI, program itu akan disiarkan secara langsung pukul 8.30 malam melalui facebook Live dengan dihoskan oleh Pengerusi Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Negeri Sabah Datuk George Lim.

Poster digital program. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Akhbar MTI

“Bicara santai ini antara lain membincangkan hala tuju perindustrian di Sabah semasa dan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Perbincangan mencakupi tentang perancangan dan tindakan untuk mendepani cabaran perusahaan masing-masing dalam era penularan wabak Covid-19.”

Demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa orang ramai dan pengusaha industri juga boleh berinteraksi dengan Madius dan George sepanjang siaran berkenaan.

“Sehubungan itu, penggiat industri turut dialu-alukan untuk menyampaikan pandangan sepanjang bicara santai ini bersiaran,” jelas kenyataan itu lagi.

Program selama sejam itu boleh diikuti menerusi laman facebook Conan Teo, seorang usahawan dan aktivis politik yang akan turut bersiaran bersama-sama.

Ia juga akan dikongsikan melalui laman facebook @Madiustangau yang mempunyai lebih 100,000 pengikut.-SabahNewsToday