Pilih Bahasa

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, tali pinggang keledar dikuatkuasa sepenuhnya pada 2020

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, tali pinggang keledar pemandu dan penumpang kenderaan biasa serta bas akan dikuatkuasakan sepenuhnya tahun hadapan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Mohd Nasri Ishak berkata pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan mengadakan kempen menyeluruh terhadap tiga elemen terbabit sehingga penghujung tahun ini.

Mohd Nasri (dua kanan) dan Janet (kanan) bergambar bersama penunggang motosikal dalam kempen berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Kempen ini akan beterusan sehingga hujung 2019 dan pada 2020, kita ketiga-tiga elemen ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Pihak berwajib akan mengenakan saman kepada mana-mana pesalah yang tidak mematuhiperaturan keselamatan jalan raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kempen Keselamaan Jalan Raya dengan kerjasama JKJR, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan petron Malaysia, di perkarangan DBKK, hari ini.

Namun, jelasnya denda atau saman yang dikenakan kepada pesalah kelak masih belum ditentukan.

“Bagi kesalahan-kesalahan ini, saman yang bakal dikenakan itu masih dalam kajian.

“Apa yang pasti, ketiga-tiga isu keselamatan ini akan dikuatkuasakan.

“Hal ini kerana, tahap kesedaran terhadap isu keselamatan terutamanya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak masih lagi rendah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JKJR Sabah, Janet David berkata kempen tersebut akan dipergiatkan ke seluruh negeri.

“Sebagai permulaan, pada Jumaat ini kita akan jalankan kempen seumpama ini di Papar.

“Usaha ini diteruskan berikutan penurunan kadar kematian dalam kemalangan yang berlaku pada tahun lalu,” katanya

Menurutnya standard kesalahan yang kerap berlaku seluruh negeri antaranya memasuki lorong bertentangan, memandu dengan had laju berlebihan, ‘micro sleep’ dan tidak sempat memotong. -SabahNewsToday