Pilih Bahasa

Penggunaan tulisan jawi, khat dan bahasa lain sesuatu yang istimewa di Malaysia

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Penggunaan tulisan jawi dan seni khat yang ingin dimulakan semula dalam silibus pendidikan oleh Kementerian Pendidikan secara sistematik perlu dipertahankan dan disokong oleh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam.
 
Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata tulisan jawi yang memiliki nilai keseniaanya tersendiri dan menjadi sebahagian dari seni dan keindahan tulisan Arab serta jawi ini wajar dipelihara.

Azizah Mohd Dun. – Gambar fail SNT

Beliau berkata, apa yang ingin dilakukan oleh KPM adalah seni warisan ini perlu dipelihara supaya generasi pelapis pada masa akan datang dapat mengembangkan seni khat ini menjadi satu ilmu yang boleh dikongsi bersama kepada semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu budaya kebangsaan Malaysia yang menjadikan negara ini unik dan istimewa.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa, penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan.

“Kerajaan sentiasa berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain di negara ini termasuk tulisan Cina kerana ia adalah sesuatu yang istimewa di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penggunaan tulisan jawi dan khat yang diperkenalkan semula oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut menggalakkan pengenalan dan penggunaan tulisan jawi serta khat adalah sesuatu yang harus disokong oleh semua pihak kerana kekuatan sesebuah tamadun adalah menghayati sejarah silam.

Katanya tulisan khat mempunyai nilai keseniaanya yang tersendiri dan murid-murid digalakkan untuk menghargainya.
 
“Saya yakin, dengan mempelajari seni warisan ini dapat mengukuhkan perpaduan dan jati diri anak bangsa dan Srikandi Bersatu Sabah menyokong dasar KPM yang dilihat komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap kekayaan seni warisan kebangsaan.
 
“Menyokong keputusan Perdana Menteri memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat perlu diteruskan. Kenyataan tindakan Dong Zong yang menghalang penggunaan tulisan jawi dan seni khat ini adalah amat tidak wajar,” jelasnya. – SabahNewsToday