Pilih Bahasa

Penghadang gelombang bernilai RM19.6 juta siap sepenuhnya

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pembinaan Penghadang Gelombang (wave screen) untuk Terminal Feri Tawau membuktikan Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri sentiasa memantau aspek perkembangan infrastuktur kepada masyarakat di Sabah.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata sebanyak RM19.6 juta diperuntukkan oleh Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) untuk pembinaan penghadang gelombang dan telah siap sepenuhnya pada 19 Disember tahun lalu.

Penghadang gelombang sepanjang 181.2 meter menelan belanja RM19.6 juta mampu menjamin keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri di daerah ini. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Tujuan utama pembinaannya adalah untuk menjamin keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri di daerah ini.

“Paling utama dan penting adalah keselamatan penumpang lebih terjamin ketika menaiki feri atau turun dari feri kerana tiada pergerakan ketara “pontoon” akibat gelombang besar yang membesar terutama ketika monsun barat daya.

Abdul Muis (empat dari kiri) mewakili Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony merasmikan Penghadang Gelombang (Wave Screen) Terminal Feri Tawau, di Dataran Batu-Batu Persisiran Traulsen Tawau. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

“Penyediaan pontoon ini juga dapat mengelak penumpang daripada bahaya tergelincir dan terjatuh ke laut akibat pergerakan turun naik pontoon,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Abd Muis Picho dalam Majlis Perasmian Penghadang Gelombang (Wave Screen) Terminal Feri Tawau, di Dataran Batu-Batu Persisiran Traulsen, di sini tadi.

Muis (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu kehormat dan Ahli Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil, Timbalan Pengerusi Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Maisuri Besri dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Mohd Tahir Lasuki.

Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan penghadang gelombang sepanjang 181.2 meter itu juga mampu mengurangkan “siltation” (pemendapan) dan impak gelombang terutama untuk menghindar kerosakan pontoon daripada gelombang besar atau ombak besar khususnya ketika musim tengkujuh.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Abd Muis Picho(tengah) mendengar penerangan berhubung penghadang gelombang yang dibina berhampiran Terminal Feri Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Selain itu, pembinaan penghadang gelombang dapat memberi ruang yang luas untuk feri ketika keluar dan masuk terminal.

“Penghadang gelombang ini turut berfungsi mengelak kesan enapan lumpur yang berterusan kerana air bergerak bebas di bawah penghadang gelombang. Sebagai makluman , penghadang gelombang ini adalah jenis terapung,”katanya.

Terdahulu, Terminal Feri Penumpang telah beroperasi sejak 5 Disember 2016 yang berfungsi sebagai salah satu pintu keluar masuk Malaysia dan Indonesia membabitkan perjalanan Tawau-Nunukan dan Tawau-Tarakan, Indonesia.

Terminal Feri ini boleh mengendalikan lapan buah feri dengan kapasiti 1,000 penumpang pada satu masa.

Ia adalah antara terminal feri terbaik di Malaysia yang juga dijadikan sebagai Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), sekaligus memudah serta melancarkan pergerakan keluar masuk penumpang di antara kedua-dua negara.-SabahNewsToday