Pilih Bahasa

PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT MANTAN AHLI PARLIMEN PENSIANGAN

KENINGAU, 11 Mac (Bernama) — Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, saudara, dan rakan taulan hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Anggota Parlimen Pensiangan Datuk Dr Bernard S. Maraat, hari ini.

Mendiang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tuarid, Liawan, dekat sini, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Antara rakan pemimpin dan ahli politik hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri Bingkor Robert Tawik, bekas Anggota Dewan Negara Datuk Dr Lucas Umbul dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Adzhar @ Eddy R.M Jasni.

Mendiang Datuk Dr Bernard S Maraat. Gambar SNT/Ihsan FB Terrence Maraat

Turut hadir Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah Datuk Jake Jikulin Nointin, bekas Pengarah Institut Kajian Pembangunan Sabah Datuk Hasnol Datuk Ayub, Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Keningau Raymond Koh dan pemimpin masyarakat setempat.

Mendiang meninggal dunia pada usia 68 tahun di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, kira-kira 3.05 pagi Sabtu lalu kerana menghidap komplikasi penyakit kencing manis.

Anak Mendiang, Terrance Maraat ketika ditemui pemberita berkata, mendiang adalah seorang bapa penyayang tetapi tegas dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga selain seorang ahli politik sederhana yang disenangi pelbagai lapisan rakyat.

Datuk Dr Lucas Umbol memberi penghormatan terakhir. Gambar SNT/Ihsan FB Datuk Dr Lucal Umbol

“Saya berterima kasih dengan kehadiran seluruh keluarga serta sahabat mendiang…maafkan jika ada kesilapan beliau (mendiang),” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Keningau Marutin Ansiung berkata pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan memandangkan mendiang pernah bertugas sebagai seorang wartawan penyiaran sebelum berkecimpung dalam bidang politik.

“Mendiang banyak mencurah bakti untuk membimbing rakan wartawan sejawatannya selain seorang yang baik hati dan memahami kerjaya wartawan,” katanya.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia selama 34 tahun sejak tahun 80-an serta berkelulusan dalam bidang Filem dan Komunikasi dari universiti di Amerika Syarikat.

Mendiang juga pernah menyandang jawatan Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak pada 2000 sebelum menceburi bidang politik pada 2004.

— BERNAMA