Pilih Bahasa

Penghuni 56 rumah di Kampung Bukit Kukusan disaran pindah demi keselamatan

Bongkah batu di lereng bukit di Kampung Bukit Kukusan. Gambar Bernama

TAWAU, 4 Feb (Bernama) — Penghuni 56 rumah di Kampung Bukit Kukusan di sini disaran berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Merotai dalam tempoh terdekat kerana faktor keselamatan.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata berkata perkara itu mengambil kira keselamatan penduduk kerana dikhuatiri batu bongkah seberat 2,000 tan metrik yang terletak di lereng bukit boleh jatuh pada bila-bila masa dan menimpa rumah penduduk.

“Pemindahan rumah ini merupakan jalan terbaik bagi penduduk yang dikhuatiri terjejas jika berlaku runtuhan batu bongkah,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jabatul Nur, Bukit Kukusan di sini, hari ini.

Sarifuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berkata demikian bagi mengulas keengganan penduduk terjejas mengikut arahan Jabatan Perhutanan Sabah yang telah mengeluarkan notis pengosongan dan roboh kepada 56 rumah yang berkuat kuasa sebulan dan bermula 30 Januari lepas.

Dalam pada itu, menurutnya rungutan penduduk terjejas dengan notis tersebut akan dipanjangkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Perhutanan Sabah di Tawau, Makran Ingkat berkata notis pengosongan terpaksa dikeluarkan kepada 56 rumah atas sebab keselamatan kerana terletak dalam zon merah selepas Jabatan Mineral dan Geosains melaporkan terdapat gegaran gempa setiap hari di bukit berkenaan.

Perkampungan Kampung Kukusan tersebut terletak di kawasan Hutan Simpan Kelas 2, Jabatan Perhutanan Sabah.

Sementara itu, ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat tidak mahu kejadian batu bongkah jatuh di kawasan sama sehingga menyebabkan dua orang meninggal dunia pada tahun 2016 itu berulang.

“Kita tidak mahu lagi ada perkara yang tidak diingini berlaku dan minta penduduk ini menerima tawaran untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Sarifuddin bersama Hamisa, ADUN Sebatik Datuk Muis Picho, wakil Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Jabatan Perhutanan mengadakan perjumpaan dengan 56 ketua isi rumah bagi menerangkan perkara sebenar bagi mencapai jalan penyelesaian.

— BERNAMA