Pilih Bahasa

Pengiktirafan UEC bukti Sabah Baharu

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Langkah kerajaan Sabah pimpinan Warisan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah bukti ungkapan ‘Sabah Baharu’.

Keputusan itu yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Sabtu lepas menunjukkan bahawa sistem pentadbiran sekarang berlainan daripada kerajaan Barisan Nasional.

Ben Chong. Gambar Fail SNT

Ahli Dewan Undangan Negeri, Tanjung Kapor Ben Chong berkata pengumuman itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga anak Sabah tanpa mengira kaum dan agama.

“Keputusan ini harus disambut baik oleh semua  masyarakat di Sabah kerana ianya merupakan selaras dengan sistem yang digunapakai oleh negara-negara maju.

“Kita di Sabah sudah mengamalkan kehidupan kepelbagian kaum dengan hormoni dan kini tiba masanya UEC ini diiktiraf kerana negeri ini dibentuk bukan melalui satu kaum sahaja.” ujar Ben.

Beliau yang juga merupakan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian turut menambah bahawa pengiktirafan ini akan memantapkan lagi pentadbiran dalam sektor perkhidmatan awam kerana bakal mempunyai opsen kepakaran dengan syarat mesti lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat SPM dan MUET di Tingkatan Enam.

Ben turut memuji keberanian Shafie menyokong UEC sekaligus membuktikan bahawa beliau adalah Ketua Menteri kepada semua lapisan masyarakat bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu sahaja.

Mengulas tentang kritikan parti Gerakan bahawa pengiktirafan terhadap UEC di Sabah adalah satu pembohongan kepada penduduk di negeri ini, Ben berkata ianya tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Dalam isu ini, kerajaan negeri Sabah mempunyai autonomi untuk menentukan bentuk pentadbiran dan hala tuju dengan sendiri selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya tidak salahkan Presiden Gerakan, Dominic Lau Chai Hoe dalam konteks ini kerana jelas beliau tidak faham dan keliru.

“Namun beliau sepatutnya menyokong langkah kerajaan negeri Sabah kerana keputusan ini jelas memberi ruang kepada kaum lain untuk turut sama menyumbang dalam sektor awam.” kata Ben.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan itu turut berkata bahawa Sabah adalah sebuah negeri yang tidak sama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Sabah mempunyai toleransi yang tinggi antara kaum. Kerajaan baharu Sabah tidak mahu ada perpecahan timbul kerana berbeza pendapat angkara hasutan politik.

“Inilah gambaran sebenar konsep Sabah Baharu yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Sabah hasil daripada kerjasama yang utuh melalui Warisan, Pakatan Harapan dan UPKO.” tegas beliau.-SabahNewsToday