Pilih Bahasa

Pengundi diingatkan tidak terpedaya mainan politik pembangkang

KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Dewan Undangan Nageri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, mengingatkan pengundi di negeri ini khususnya di kawasan Kadamaian supaya tidak terpedaya dengan mainan politik pihak pembangkang.

Beliau yang juga Naib Presiden Upko berkata, pihak pembangkang sering mengaitkan Warisan dengan isu pendatang asing tanpa izin (PTI) dan Warisan mesra PTI serta banyak lagi tuduhan-tuduhan tidak berasas.

Ewon ketika berucap di Kampung Tambulion. – Gambar SNT/Ihsan Upko

“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa, sepanjang dua tahun lebih saya menghadiri mesyuarat kabinet negeri Sabah setiap Rabu, tidak pernah sekalipun membincangkan mengenai pemberian IC atau memberikan keistimewaan kepada PTI.

“Apa yang kami bincangkan di Kabinet ialah bagaimana mengurus masalah-masalah rakyat, membangunkan negeri Sabah, mempercepatkan peruntukan untuk pembangunan di kawasan luar bandar termasuk Kadamaian, mengeluarkan tanah tradisi dari hutan simpan, menarik pelabur melabur di negeri ini dan banyak lagi perkara berkaitan pembangunan dan keperluan rakyat.

“Sekiranya ada perbincangan di Kabinet mengenai pemberian keistimewaan untuk PTI di negeri ini, saya adalah orang pertama yang akan melawan secara habis-habisan … tetapi tidak ada perbincangan mengenai perkara itu,” katanya ketika berucap pada Program Santai Bersama Rakyat Kadamaian di Kampung Tambulion, Kg.Tambulion Ulu dan Kampung Piasau di sini, hari ini.

Ewon dan Jin Zhe merasmikan Bangunan Gimnasium Tambulion. – Gambar SNT/Ihsan Upko

Turut hadir memberikan sokongan, calon Warisan Plus DUN Luyang iaitu Phoong Jin Zhe.

Di Kampung Tambulion, Jin Zhe menyempurnakan perasmian Bangunan Gimnasium Tambulion iaitu antara kemudahan yang disediakan kerajaan Warisan Plus.

Ewon yang juga penyandang kerusi DUN Kadamaian dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar neger berkata isu PTI yang sering dimainkan pihak pembangkang untuk menghasut fikiran rakyat supaya tidak menyokong calon-calon Warisan Plus adalah isu lama yang telah wujud sejak sekian lamanya.

“Sekiranya ada masalah PATI di kawasan Kadamaian, saya tidak akan membiarkan ia berlaku tetapi tiada PTI di kawasan kita, maka tumpuan saya ialah menyelesaikan masalah yang ada di depan mata seperti pembangunan yang amat diperlukan rakyat Kadamaian.

“Sebab itu saya menggunakan peruntukan touchpoints saya untuk menjayakan kajian pelan pembangunan Kadamaian iaitu pembangunan yang diperlukan penduduk di 74 buah kampung di Kadamaian dan semuanya itu terkandung dalam buku Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035,” katanya.

Beliau berkata, pelan itu kini menjadi sebahagian daripada dokumen rasmi kerajaan Sabah dan menjadi input utama Kadamaian untuk rancangan-rancangan pembangunan negeri dan negara. 

Sehubungan itu Ewon berharap pengundi Kadamaian dapat membuat pilihan bijak pada 26 September ini dan memberikan sokongan padu kepada calon yang mewakili parti kerajaan iaitu UPKO bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang. – SabahNewsToday