Pilih Bahasa

Pengundi Kimanis harus bijak buat pilihan: Karim

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Karim (kanan) bertemu dengan orang ramai di tamu Pekan Membakut. – Gambar SNT/Ihsan unit media DKB

MEMBAKUT: Rakyat diingatkan agar tidak terus dibuai mimpi oleh janji pembangkang sebaliknya perlu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebagai medan untuk menentukan masa depan pembangunan di kawasan tersebut.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang berkata rakyat perlu yakin bahawa kerajaan hari ini bukan sekadar berjanji tetapi boleh melaksanakan apa yang telah dirancang untuk kebaikan dan manfaat mereka.

“Saya yakin dan percaya bukan senang bagi mana-mana pihak untuk menyelewengkan fakta dan saya rasa pengundi di sini sedar.. setahun setengah kawasan ini telah diwakili oleh pembangkang dan tidak ada yang dibuat dalam masa itu.

“Jadi saya hendak beritahu kepada pengundi-pengundi di sini supaya bijak membuat pilihan dan bagi sokongan kepada kerajaan hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan walkabout di Tamu dna Pekan Membakut di sini, hari ini.

Karim (kanan) berbual bersama peniaga semasa mengadakan walkabout di tamu Pekan Membakut. – Gambar SNT/Ihsan unit media DKB

Dalam program itu Karim turut beramah mesra dan bertemu dengan para peniaga serta orang ramai di tamu berkenaan.

Menurut Karim lagi sepanjang pertemuan itu para peniaga menyatakan permasalahan dihadapi mereka seperti ketiadaan beberapa kemudahan di kawasan perniagaan Pekan Membakut.

“Saya mengorbankan diri untuk kerja ini, bukan mahu mencari publisiti, nama, tidak.. saya mahu sedarkan rakyat di sini betapa pentingnya kita bersatu padu supaya arus pembangunan yang berjalan lancar di Sabah hari ini kita dapat rasai.

Karim (tengah) meluangkan masa bertemu peniaga semasa sesi walkabout di tamu Pekan Membakut. – Gambar SNT/Ihsan unit media DKB

“Tapi kalau kita bertahan di pembangkang, rakyat akan terus membantah sahaja, malah semua yang dibuat oleh kerajaan tak betul walhal pembangkang pun bukan 100 peratus betul,” katanya.

Karim turut mempersoalkan apakah usaha yang telah dilakukan oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan sebelum ini.

“Beliau salahkan saya bergelar wakil rakyat selama 25 tahun tapi saya hendak tanya apa yang dia telah lakukan di Bongawan semasa menjadi Adun di sana,” katanya. – SabahNewsToday