Pilih Bahasa

Pengundi muda penentu kerajaan akan datang

KOTA KINABALU: Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Redonah Bahanda menyeru anggota Srikandi Bersatu untuk terus membina kekuatan dengan menambah keahlian.

Srikandi perlu menarik minat pengundi muda dan wanita untuk menyertai parti Bersatu.

Redonah (kiri) menziarahi warga emas di PDM Teringai Laut. Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu Sabah

Beliau berkata PRU ke 15 akan datang, dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi muda baharu bakal didaftar sebagai pemilih dalam tempoh lima tahun. Mereka ini (pengundi muda) akan mencorakkan demokrasi negara ekoran susulan pindaan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Katanya peerubahan ini sudah tentu merubah landskap dan senario politik tanah air pada akan datang. Pengundi muda menjadi penentu pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah di PDM Teringai Laut, Kota Marudu semalam. Dalam program itu beliau turut menziarahi mangsa yang terkena tembakan peluru sesat dan melawat warga emas yang uzur.

Redonah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Kota Marudu memberitahu bahawa anggota Srikandi akan berdepan dengan perubahan semasa yang cukup mencabar, bukan sahaja melibatkan perubahan sosial, malah lebih membimbangkan dari segi pola dan kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada budaya politik kebencian.

Redonah (kanan) beramah-mesra dengan para penduduk kampung semasa lawatan beliau di PDM Teringai Laut. Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu Sabah

“Setiap ahli Srikandi mesti menjadi ejen perpaduan dalam kalangan rakyat. Kita perlu mendekati mereka untuk menyatu dan sentiasa mengajak ke arah kebaikan.

“Kepercayaan dan sokongan yang dicapai oleh Bersatu hari ini bukan sesuatu yang datang dengan mudah. Kita tidak ada lampu ajaib untuk digosok yang membolehkan sesuatu sokongan berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

Tegasnya setiap anggota Srikandi diharap tidak berasa selesa dengan pencapaian yang ada sebaliknya terus bekerja keras bagi mendapat keyakinan dan sokongan rakyat.

Menurutnya pelaksanaan sesuatu program pembangunan dan pembelaan rakyat hanya dapat dilaksanakan secara lebih berkesan jika dilakukan secara bersepadu melibatkan pelbagai pihak.

“Tanggungjawab menjalankan aktiviti kemasyarakatan tidak sewajarnya dipikul oleh kerajaan tetapi sebaliknya perlu dikongsi bersama dengan pemimpin masyrakat dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

“Dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan penduduk sendiri, kita dapat melakukan apa sahaja program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan pada hari ini dengan berkesan,” ujarnya.

Katanya lagi kerajaan memang peka terhadap pembangunan untuk rakyat khususnya untuk membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Redonah berkata semua pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi diminta supaya membantu kerajaan untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan dan bentuk pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan untuk kebaikan penduduk.-SabahNewsToday