Pilih Bahasa

Pengundi punya tiga sebab sokong Vivian: Lim

Oleh Zakaria Damit

SANDAKAN: Tiga faktor utama menyebabkan mengapa pengundi perlu menyokong Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini.

Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng berkata pertama iaitu meneruskan sokongan kepada kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (PWS) serta kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekaligus berusaha untuk menentang gejala rasuah di negara ini.

Lim Guan Eng (kiri) bersama Lim Kit Siang (kanan), calon DAP Vivian Wong (dua kanan) dan Datuk Frankie Phoon beramah mesra dengan orang ramai. Gambar SNT/Ihsan DAP

Sebelum ini gejala rasuah ini dilihat gagal untuk ditangani serta sangat berleluasa sehingga menjejaskan reputasi negara ini di mata luar. Oleh itu ini merupakan faktor utama pengundi di Parlimen Sandakan meneruskan sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Faktor kedua iaitu, memastikan pembangunan mampan yang bermakna serta bernilai tinggi untuk manfaat kepada seluruh rakyat Sabah, termasuk di Parlimen Sandakan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas bersarapan serta beramah mesra dengan masyarakat di Pasar Elopura Sandakan, di sini pagi tadi.

Lim yang juga Menteri Kewangan berkata, ketiga adalah usaha kerajaan mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi penggubalan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang tidak dilaksana kerajaan terdahulu.

“Kita boleh pastikan pembangunan mampan serta berjiwa rakyat disamping tidak mengamalkan sikap kroni dimana rakyat boleh memperoleh faedahnya. Bukan hanya satu dua orang saja yang dapat manfaat tersebut berbanding kerajaan sebelum ini, katanya.

Lim menambah, pengundi seharusnya memberi kemenangan kepada calon DAP Vivian Wong Shir Yee untuk memastikan kesinambungan pembangunan diperlukan rakayt diperingkat akar umbi dapat dilaksanakan secara berpeingkat-peringkat.

Sementara itu ketika ditanya mengenai sambutan rakyat selepas seminggu berkempen, Lim berkata, calon DAP mendapat sambutan sokongan padu yang sangat menggalakkan daripada pengundi di Parlimen Sandakan.

Sambutan positif ini daripada pelbagai lapisan masyarakat serta suku kaum yang ada di sekitar Parlimen Sandakan ini. Ini sudah tentu memberi semangat serta motivasi yang tinggi kepada calon DAP untuk bekerja lebih keras lagi di sepanjang tempoh masa kempen, katanya.-SabahNewsToday