Pilih Bahasa

Pengurusan pasar awam Beaufort akan disusun semula

BEAUFORT: Pengurusan pasar awam daerah ini akan disusun semula bagi memastikan kebersihan serta keselesaan kepada peniagaan dan pengguna berada ditahap terbaik.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, bangunan pasar awam di sini cantik tetapi wujud unsur-unsur kelekaan terhadap pengurusan.

Jaujan melawat Pasar Beaufort. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Saya yakin dengan penyusunan semula pentadbiran pasar ini dengan konsep lebih selesa, saya rasa kita akan hidupkan kembali suasana supaya peniaga tempatan seperti mak cik, pak cik, adik, kakak, atau suri rumah tidak hilang pendapatan harian.

“Sekiranya mereka hilang punca pendapatan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mempunyai anak yang bersekolah, akhirnya boleh menyebabkan anak mereka menganggur, ini akan memberikan satu tekanan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Awam Daerah Beaufort, di sini semalam.

Beliau berkata, pihak pentadbiran seharusnya mengutamakan kebersihan serta menaiktarafkan kemudahan seperti bilik sejuk beku bagi memudahkan peniagaan menyimpan bekalan bahan jualan seperti ikan serta daging segar.

Katanya, pasar awam menjadi perhatian kerajaan Sabah melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).

“Sebab itu baru-baru ini saya mengumumkan semua pasar awam di 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dinaik taraf agar sentiasa bersih, selesa dan kondusif kepada peniaga serta pengunjung.

“Kita ada jumpa peniaga di sini, antara rungutan mereka selain perlu disusun baik pentadbiran…masalah utama dihadapi adalah bekalan air bersih. Ini sudah diketahui sejak dahulu lagi dan kerajaan baharu sudah mengambil langkah dan dalam proses menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri KKTP berkata, setiap ahli  majlis daerah yang dilantik di seluruh negeri ini harus mampu membuat keputusan terbaik kepada kawasan masing-masing.

Katanya, jangan pula mesyuarat diadakan setiap bulan tetapi tidak mampu mencapai satu idea bernas untuk dimanfaatkan.

“Itu sebabnya setiap ahli majlis yang dilantik adalah berdasarkan kebolehan dan berasal dari kawasan masing-masing kerana mereka tahu kesesuaian serta keperluan daerah terbabit.

“Kembalikan kepentingan peranan pasar awam kepada rakyat di setiap daerah, saya harap tindakan segera dapat diambil untuk menaik taraf pasar di sini,” katanya.

Jaujan turut mencadangkan agar kemudahan seperti meja penjual dapat diseragamkan agar ianya cantik ketika dipandang, bagaimanapun ianya terpulang kepada ahli majlis untuk berbincang mengenai perkara itu.

Katanya, pasar awam perlu dijadikan tumpuan awam kerana pada ketika kini peranannya diambil alih oleh pasaraya-pasaraya swasta yang besar.

“Pasar semakin kosong dan tidak lagi memberi manfaat besar kepada pelanggan, apa yang saya bimbang adalah peniaga orang tempatan kehilangan tempat mencari sumber pendapatan kerana kurangnya pengguna mengunjungi pasar awam ini,” katanya.-SabahNewsToday