Pilih Bahasa

Pengurusan Pulau Sipadan akan diserah semula kepada Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pengurusan Pulau Sipadan yang sebelum ini diletakkan di bawah penyeliaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri.


Mohd Shafie pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed semasa mesyuarat jawatankuasa Perjanjian Malaysia (MA63).

“Saya difahamkan bahawa ia telah dipersetujui, kecuali pelaksanaannya sahaja belum kerana kita belum menerima surat (secara rasmi bagi menyatakan penyerahan itu).

“Perkara ini akan dibawa ke Kabinet untuk memutuskan hal-hal berkaitan penyerahan pengurusan operasi Pulau Sipadan kepada kerajaan negeri di bawah dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,” katanya.

Terdahulu Mohd Shafie menerima kunjungan hormat daripada kumpulan pelabur Jepun, Wanoyu Global Co., Ltd Japan di pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPUNS) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan menyambut baik cadangan Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) agar sebuah pasukan renjer terdiri daripada penyelam profesional dan terlatih ditubuhkan bagi membantu pihak berkuasa memantau aktiviti menyelam di daerah itu.

Beliau menjelaskan kerajaan juga seharusnya melibatkan diri dengan operator pelancongan, sekurang-kurangnya untuk membimbing mereka kerana difahamkan segelintir juruselam yang membawa pelancong ini tidak profesional.

Dengan bimbingan dan garis panduan yang betul termasuk daripada segi peraturan, beliau menambah juruselam akan lebih berhati-hati dalam memastikan keselamatan pelancong semasa menyelam.

“Saya sendiri telah memberitahu Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew bahawa kerajaan perlu mempunyai kerjasama rapat dengan operator pelancongan.

“Penggunaan bom ikan ini bukan masalah baharu dan ia bukan sahaja berlaku di Sabah, malah mana-mana negara turut berdepan isu ini,” katanya. – SabahNewsToday