Pilih Bahasa

Pengusaha akan diambil tindakan jika sedia produk penyu kepada pelancong

Gambar Bernama

LAHAD DATU, 10 Jan (Bernama) — Pengusaha pelancongan di Sabah diingatkan agar tidak “melayan” permintaan pelancong yang mahu menikmati makanan berasaskan penyu jika tidak ingin berdepan tindakan undang-undang.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assaffal P Alian berkata pemain industri pelancongan termasuk premis makanan tidak seharusnya melanggar undang-undang hanya untuk memenuhi kehendak pelawat.

“Penyu adalah spesies yang dilindungi dan kementerian berpegang teguh pada undang-undang yang diguna pakai kerana penyu penting dalam ekosistem.

“Kalau ada usaha atau permintaan daripada mana-mana pihak sekalipun (untuk dapatkan) sama ada daging, telur penyu, ia salah mengikut undang-undang di negeri ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan wujudnya permintaan dalam kalangan pelancong untuk memakan daging atau telur penyu di Sabah.

Isu itu menjadi bahan bualan masyarakat yang turut mendakwa penjualan daging dan telur penyu tidak akan berlaku sekiranya tiada permintaan yang turut mendorong peniaga mendapatkan bekalan dan perkhidmatan pemburu penyu bagi tujuan tersebut.

— BERNAMA