Pilih Bahasa

PENGUSAHA HOMESTAY CEDERA DITETAK DI TAMPARULI

Oleh Alfred Petrus

Pengusaha homestay terbaring selepas diserang dengan parang oleh suspek yang melarikan diri ke dalam hutan. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

TUARAN: Pengusaha sebuah homestay cedera parah akibat ditetak selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang individu berhampiran Kampung Kiwoi di Tamparuli dekat sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superitendan Dzulbaharin Ismail berkata mangsa dipercayai ditetak menggunakan sebilah parang di bahagian lengan dan belakang kepala kira-kira pukul 2.30 petang.

“Siasatan awal mendapati, mangsa seorang warganegara Australia berusia 46 tahun yang berkahwin dengan warga tempatan itu berlaku berselisihan faham dengan suspek berusia 30-an.

Mangsa dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

“Akibat perselisihan faham tersebut suspek berasa tidak puas hati dengan mangsa lalu mengeluarkan parang dan mengejar mangsa.

“Mangsa cuba meminta bantuan namun gagal apabila suspek berjaya mengejar mangsa dan menetaknya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Katanya selepas mangsa ditetak, suspek bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan seorang lelaki warga asing yang berlumuran darah terbaring di tengah jalan.

Jelasnya hasil siasatan ditempat kejadian, terdapat tompokan darah sejauh 40 meter daripada lokasi mangsa terbaring.

“Pihak polis masih giat menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya.

Tambahnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, mangsa kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth Satu. -SabahNewsToday