Pilih Bahasa

Pengusaha kraftangan tempatan peroleh pendapatan RM157,000 melalui Rasa Ria Handicraft Market

Oleh Alfred Petrus

William (kiri), Fiona (kanan) dan Tom (dua kanan) mengunjung tapak jualan kraftangan pada program berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

TUARAN: Pengusaha kraftangan tempatan memperoleh pendapatan sejumlah RM157,000 melalui Pasar Kraftangan Rasa Ria yang dijalankan di resort berkenaan pada Jumaat.

Dengan mengumpulkan kira-kira sembilan usahawan kraftangan tempatan, program tersebut bertujuan untuk menemukan pembuat kraftangan kepada 600 pengunjung dari syarikat Genesys yang membuat lawatan selama tiga hari di sini.

Pengurus Besar Shangri-La’s Rasa Ria Resort & Spa, Fiona Hagan berkata program seumpama itu adalah inisiatif Mice (meetings, incentives, conferencing, exhibitions) pertama di Sabah yang mana usahawan kraftangan dibantu untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya Matlamat Pembangunan Mampan adalah bahagian penting dalam inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Genesys dalam menyokong kami untuk membantu masyarakat tempatan.

“Banyak yang boleh kita lakukan bersama dalam membantu masyarakat asal Sabah terutamanya dalam memajukan industri kraftangan tempatan.

“Kami juga berterima kasih dengan badan bukan kerajaan seperti Pacos Trust (Partners of Community Organisation) dalam membantu memperbanyakkan lagi usahawan kraftangan untuk dibantu,” katanya dalam satu sidang media Rasa Ria Handicraft Market, di sini, pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa adalah penting kepada mana-mana organisasi seperti NGO untuk bersama-sama membantu komuniti setempat.

Tambahnya kesemua usahawan yang terlibat pada program tersebut adalah dari Pusat Latihan Komuniti (CLC) beberapa kampung di Pantai Barat.

“Terdapat penduduk asal di beberapa kampung yang menjadikan pembuatan kraftangan sebagai sumber pendapatan mereka sejak 25 tahun lalu.

“Oleh itu, program dengan kerjasama pelbagai pihak ini boleh dijadikan misi untuk membantu masyarakat asal untuk meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Genesys, Tom Eggeimier berkata melalui program itu menjanjikan pendapatan lumayan.

Jelasnya sejumlah RM133,000 diberikan kepada 600 peserta lawatan Genesys untuk membeli barangan kraftangan yang dijual oleh peniaga-peniaga.

Turut hadir pada program berkenaan iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, William Baya. -SabahNewsToday