Pilih Bahasa

Pengusaha kuih raya terima banyak tempahan menjelang Aidilfitri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Kedengaran lagu-lagu Aidilfitri di corong radio dan paparan di televisyen menjadi tanda kedatangannya semakin dirasai terutama kepada pengusaha kuih raya yang kini tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan untuk disajikan kepada tetamu dihari lebaran nanti.

Bagi seorang pengusaha kuih raya, Emy Syalvi Sainuddin, 29, tempahan kuih diterima sebelum ramadan mendapat sambutan ramai pelanggan bukan sahaja di daerah Sandakan malah di daerah lain seperti Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kunak, dan Tawau.

Emy sedang menyiapkan salah satu kuih raya resipinya. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun itu hanya menjual kuih berkenaan dengan harga berpatutan iaitu RM15 hingga RM30 mengikut kuantiti biskut.

“Saya hanya menggunakan laman sosial Facebook dan Whatsapp sejak tahun 2015 sebagai saluran untuk saya membuka tempahan kuih raya.

“Daripada maklum balas diterima, ternyata ramai pelanggan saya adalah dari luar daerah Sandakan dan saya akan menggunakan khidmat penghantaran kuih raya melalui bas express.

“Bagi pelanggan sekitar Sandakan pula, saya akan menghantar sendiri tempahan kuih raya itu ke rumah mereka atau pelanggan datang sendiri ke rumah saya” katanya ketika ditemui Sabah News Today, baru-baru ini.

Emy berkata, pada tahun ini dia menawarkan 15 jenis kuih raya tradisional dan moden. Hingga kini, dia sudah menyiapkan lebih 3,000 biji kuih yang ditempah pelanggan.

Antara kuih raya yang siap untuk dihantar. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Antara kuih raya yang paling mendapat sambutan ialah popia simpul, snow
almond, tart nanas dan almond london.

“Saya tidak sangka akan mendapat banyak tempahan pada tahun ini sehingga saya terpaksa meminta khidmat bantuan daripada adik perempuan saya untuk siapkan semua tempahan sebelum 1 Syawal,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli kuih raya, Hasmidah Hamid, 32, berkata dia lebih berminat untuk membeli kuih raya berikutan tidak ada masa untuk membuat sendiri di rumah atas faktor kerja.

Dia turut membelanjakan RM300 untuk kuih raya. Hasmidah akan menempah kuih yang diinginkan sebelum ramadan dan akan diterima seminggu sebelum hari raya.

“Saya lebih selesa untuk menempah sahaja kuih yang saya inginkan dan ia dapat memudahkan rutin kerja saya.

“Setiap tahun saya akan tempah 10 jenis biskut untuk hidangan tetamu pada hari raya nanti,”katanya. – SabahNewsToday