Pilih Bahasa

Pengusaha pelancongan pelbagai negara sertai Programme Mart sempena ATCM 2020

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Musa (tengah) bersama sebahagian penjual dan pembeli pakej pelancongan dalam Programme Mart sempena ATCM 2020 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Seramai 44 penjual pakej pelancongan daripada 33 negara Eropah serta Asia terbabit dalam `Programme Mart’ sempena “Adventure And Travel Conference Mart (ATCM)  2020.

Dianjurkan bersama Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan Tourism Malaysia, sebanyak 54 pembeli pakej pelancongan turut menyertai program berkenaan yang berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort bermula 13 hingga 15 Februari.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia,  Datuk Musa Yusof berkata semua penjual dan pembeli yang terlibat akan berbincang berkaitan produk pelancongan ditawarkan.

Musa (tiga dari kanan) menerima cenderamata pada perasmian Programme Mart sempena ATCM 2020 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Apabila pembeli bersetuju dengan pakej ditawarkan penjual, barulah mereka menandatangani perjanjian selama setahun dan memasukkan pakej berkenaan di dalam katelog pelancongan yang hendak diperkenalkan kepada pengguna.

“Semua pakej disediakan adalah berbentuk pengembaraan. Pembeli di negara masing-masing boleh melihat pakej disediakan membabitkan pelbagai lokasi menarik termasuklah tempat terdapat di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan “Programme Mart” sempena ATCM 2020 di sini, hari ini.

Sementara itu, Musa menyatakan pihaknya turut membawa seramai 36 pengamal media antarabangsa daripada 11 negara bagi menyertai program terbabit.

Musa (tiga dari kanan) dan tetamu kenamaan lain memotong reben sebagai simbolik perasmian Programme Mart sempena ATCM 2020 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Menurut Musa, ia bertujuan bagi membantu pihaknya mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di negara ini.

“Semua pengamal media juga akan dibawa melawat ke pusat pelancongan yang ada di Sabah termasuklah Pulau Sipadan di Semporna. 

“Ia akan memberi peluang kepada pengamal media melalui sendiri pengalaman keunikan serta kecantikkan produk pelancongan terdapat di negeri ini.

“Mereka kemudiannya boleh menterjemahkan pengelaman itu menerusi penulisan di negera masing-masing dalam usaha meningkatkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya. – SabahNewsToday