Pilih Bahasa

PENGUSAHA STESEN MINYAK, RESTORAN DIGESA TINGKAT KEBERSIHAN TANDAS

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Asmiah dan Mayor Datuk Yeo Boon Hai bergambar kenangan dengan para penerima hadiah di sini hari ini. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Penarafan bintang bagi tandas bersih di premis perniagaan khususnya stesen minyak oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diharap mampu menggalakkan penjagaan kebersihan tandas awam di Ibu negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Arifin Asagil berkata, ini kerana tempat tersebut seringkali menjadi tumpuan orang awam khususnya pelanggan yang mengisi petrol di situ.

Arifin berkata, melalui pertandingan dan penarafan bintang tandas bersih itu, para pengusaha stesen minyak akan berusaha lebih gigih untuk memastikan tandas-tandas mereka sentiasa bersih di samping pemantauan yang berterusan oleh pihak DBKK.

“Saya juga menggesa agar pihak pengurusan stesen minyak mengambil peranan penting dan lebih proaktif memantau serta menyediakan peruntukan khas untuk meningkatkan kualiti tandas di stesen minyak masing-masing.

Arifin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada wakil Petron Jalan Pantai Nam Kong SS yang muncul johan tandas bersih bagi Kategori Stesen Minyak Petron. Turut kelihatan, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai (tiga dari kanan). – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

“Selain tandas stesen minyak, pihak restoran juga tidak kurang penting kerana jumlahnya yang banyak di kawasan bandar raya Kota Kinabalu,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Pertandingan dan Penarafan Bintang Tandas Bersih Stesen Minyak serta Penaiktarafan Kebersihan Tandas Restoran dan Kedai Kopi 2018 di Dewan Mesyaurat DBKK di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang untuk setiap kategori yang menerima RM1,000 bagi johan dan masing-masing-masing RM800 serta RM600 bagi tempat kedua dan ketiga selain sijil dan plak.

Bagi Kategori Stesen Minyak Petron, johan dimenangi oleh syarikat Petron Jalan Pantai Nam Kong SS manakala tempat kedua dan ketiga pula diraih Petron Ulam North dan Petron Jalan Kolam.

Kategori Stesen Monyak Shell pula johan dimenangi Shell Donggongon By Pass, tempat kedua dan ketiga menjadi milik Shell Menggatal dan Shell Jalan Tunku Abdul Rahman, Kampung Air.

Untuk Kategori Stesen Minyak Petronas, johan dimenangi Petronas KKIP manakala Petronas Station Penampang 2 dan Petronas Jalan Mat Salleh masing-masing tempat kedua dan ketiga.

Dalam pada itu, Arifin berkata, kerajaan menghargai usaha pemilik stesen minyak dan restoran serta kedai kopi yang mahu meningkatkan tahap kebersihan tandas masing-masing ke tahap lebih baik.

Katanya, tandas yang bersih bukan sahaja penting untuk keselesaan orang awam tetapi juga asas kepada kesihatan masyarakat. – SabahNewsToday