Pilih Bahasa

PENIAGA PASAR MALAM DIINGATKAN TIDAK MENYEWAKAN LESEN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Peniaga serta penjaja pasar malam di bandar raya ini diingatkan supaya tidak menyewakan lesen perniagaan masing-masing kepada individu lain demi mengaut keuntungan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali berkata tindakan tegas bakal diambil kepada peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan berikutan tidak mahu wujudnya penyalahgunaan lesen diberikan hanya untuk tujuan peribadi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Timbalan Presiden Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Sabah (PPBPBS), Rubail Sibil (tiga dari kanan) sempena Majlis Mesyuarat Agung PPBPBS kali ke 19/2018 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Arifin berkata pihaknya sudah mengarahkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyiasat perkara berkenaan agar ia dapat dibendung serta-merta.

“Kita dimaklumkan ada sesetengah individu bersungguh-sungguh mahu berniaga namun tiada tempat.

“Situasi ini adakalanya digunakan oleh individu kurang bertanggungjawab yang mempunyai lesen dan menyewakannya mungkin dengan kadar sedikit mahal dengan anggapan boleh mendapat keuntungan.

“Pihak berkuasa berkaitan akan membatalkan lesen peniaga ini kerana kita hendak memberi peluang kepada orang lain yang sangat memerlukan lesen ini bagi mencari rezeki melalui perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Sabah (PPBPBS) Kali Ke 19/2018, dekat sini, hari ini.

Beliau hadir bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir Penaung PPBPBS, Sahrin Yusof, Presiden PPBPBS, Lipah Mad dan Timbalan Presiden PPBPBS, Rubail Sibil.

Dalam pada itu, Arifin berkata beliau meminta semua penjaja yang mempunyai masalah berkaitan untuk terus mengajukan kepada pihak persatuan agar mudah dibantu dan menemukan langkah penyelesaian sewajarnya. -SabahNews Today