Pilih Bahasa

Peniaga rugi RM130,130 diperdaya Macau Scam

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Seorang peniaga kerugian RM130,130 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis dan pegawai mahkamah.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata kejadian itu berlaku pada 30 April lalu apabila mangsa lelaki berusia 30 tahun dihubungi oleh dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis dan pegawai mahkamah.

Superintendan Muhamad Farid Ahmad. Gambar Fail SNT

Menurutnya, lelaki itu mengatakan bahawa mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan saman berkaitan akaun di sebuah bank serta memaklumkan akaun mangsa sedang disiasat.

“Suspek kemudian memaklumkan mahu membuat pemeriksaan jumlah wang yang ada di dalam mana-mana akaun bank dan meminta nombor akaun serta nombor kad bak milik mangsa.

“Mangsa yang mempercayainya kemudian membuat pemindahan wang ke lima akaun yang diberikan atas nama yang berlainan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Farid berkata mangsa membuat 19 kali transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM130,130.

“Mangsa yang berasa ditipu kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk membuat laporan, pada 1 Mei lalu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

“Kita juga minta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.

“Orang ramai boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan yang meragukan,” katanya. – SabahNewsToday