Pilih Bahasa

PENINGKATAN PENDUDUK PENAMPANG BUKAN HALANGAN BANTERAS JENAYAH

Oleh Alfred Petrus

Mohd Harris (dua dari kiri) turut serta turun padang untuk mendengar sendiri aduan penduduk sekitar Delta Height berkenaan salah laku jenayah di kawasan tersebut. – Gambar SNT/Alfred Petrus

PENAMPANG: Ketidakseimbangan kekuatan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kepadatan penduduknya tidak menghalang badan tersebut terus komited dalam menjaga keamanan daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Harris Ibrahim berkata walaupun tiada penambahan bilangan keanggotaan dan logistik pasukan tersebut, namun tugas-tugas kepolisan tetap menjadi keutamaan.

“Daerah ini yang bersempadanan dengan ibu negeri sudah tentu kita mendapat limpahan dari sudut kemajuan yang ada.

“Pertambahan populasi ini turut membawa kepada peningkatan aktiviti jenayah di Penampang,” katanya ketika ditemui pada Program Kampung Angkat IPD Penampang di Delta Height Bundusan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, IPD Penampang tetap berusaha dan tidak menjadikan alasan dalam membanteras gejalah jenayah di daerah tersebut.

Mohd Harris berkata Program Kampung Angkat juga merupakan kesinambungan kepada program di peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Tambahnya Delta Height merupakan salah sebuah taman perumahan yang daripada lima buah kampung sekitar Penampang yang terpilih dalam Program Kampung Angkat tersebut.

Katanya pemilihan kampung atau taman perumahan dalam program tersebut adalah berdasarkan kepada kejadian jenayah dan penyalahgunaan dadah yang dikenal pasti dalam kawasan tersebut.

“Delta Height dipilih disebabkan berdasarkan kepada analisis kejadian jenayah yang lepas.

“Kawasan ini terdapat peningkatan atau ada kekerapan yang berlaku dari segi jenayah seperti penyalahgunaan dadah, pecah rumah mahupun curi kenderaan.

“Dengan adanya porgram ini, kita dapat bersama dan bersua dengan penduduk kampung dan penduduk taman perumahan di sini. Secara tidak langsung, pihak kami akan mendapat maklumat untuk tindakan susulan di peringkat Penampang,” katanya. – SabahNewsToday