Pilih Bahasa

Peningkatan taraf hidup masyarakat KDM melalui pembangunan sosio-budaya, pendidikan dan ekonomi

Oleh Sabah News Today

KOTA MARUDU: Budaya, pendidikan dan sosioekonomi – tiga aktiviti utama yang akan menjadi titik tumpuan Jawatankuasa Penyelaras Daerah Persatuan Kebudayaan Kota Marudu Kadazan Dusun (KDCA) di sini.

Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga merupakan Ketua Penyelaras berkata tiga biro khas ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan aktiviti-aktiviti untuk tiga tahun akan datang.

Dr Maximus Ongkili mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Daerah Persatuan Kebudayaan Kota Marudu Kadazan Dusun (KDCA) semalam. Gambar SNT/Ihsan KDCA Kota Marudu

Beliau berkata pelbagai program yang direka khas untuk memberi tumpuan kepada ketiga-tiga aktiviti itu akan dilaksanakan untuk mempromosi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat dan sosio-ekonomi di kawasan ini.

“Kami telah merancang untuk mengadakan beberapa bengkel dan pertandingan, seperti memukul gong, tarian dan bercerita dalam bahasa Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) untuk kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah dalam usaha mempromosi dan memelihara bahasa ibunda kita.

“Di samping itu, kami juga akan mendokumentasikan kepercayaan dan budaya masyarakat KDMR, khususnya di Kota Marudu. Daerah ini sangat kaya dengan kepelbagaian budaya daripada masyarakat pelbagai etnik, seperti Dusun Tabilung,  Kimaragang, Rungus, Lingkabau dan Sonsogon, antaranya, yang masing-masing mempunyai sifat dan fahaman budaya yang unik,” katanya semasa mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa di sini, semalam. 

Ongkili, yang juga Timbalan Presiden KDCA, turut menggesa Jawatankuasa Penyelaras KDCA Daerah untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan kebudayaan lain untuk meningkatkan lagi usaha pemeliharaan budaya mereka.

“Kami mahu memastikan anak-anak kita tidak melupakan bahasa ibunda mereka. Ianya amat penting untuk memelihara kebudayaan kita demi kebaikan generasi masa depan,” katanya.

Selain daripada kebudayaan, Jawatankuasa tersebut juga akan memberi tumpuan kepada pendidikan dengan menganjurkan seminar, bimbingan kerjaya, bengkel mengenai kaedah pembelajaran, dan cara skor dalam peperiksaan, agar pelajar luar bandar turut cemerlang dalam pelajaran mereka.

“Kami mahu melihat lebih banyak pelajar luar bandar meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan memasuki kolej dan universiti. Pendidikan adalah kunci kepada kejayaan, terutama dalam dunia yang mencabar hari ini,” katanya.

Mengenai sosio-ekonomi, beliau berkata biro itu akan ditugaskan untuk berkongsi maklumat dengan bekerjasama dengan NGO dan kumpulan korporat dalam memperluaskan teknologi baru dalam bidang pertanian, terutamanya tanaman yang mudah ditanam di Kota Marudu seperti jagung, kelapa, bambangan dan ubi manis.

“Seorang rakan rapat saya pernah memberitahu saya bahawa kita perlu kembali ke tanah dan bercucuk-tanam. KDCA Kota Marudu berharap agar dapat bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO untuk membantu menaikkan sumber pendapatan penduduk di sini dan membawa mereka keluar dari kumpulan B40, atau keluarga berpendapatan rendah.

“Namun, masyarakat tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Mereka perlu belajar berdikari, dan saya percaya, untuk mempromosikan keusahawanan luar bandar, kita perlu berbakti kepada tanah,” tegas -SabahNewsToday