Pilih Bahasa

PENJAWAT AWAM ANTARA DI TAHAN POSITIF DADAH

Oleh Alfred Petrus

Antara yang ditahan positif dadah oleh AADK Keningau. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

KENINGAU: Dua orang kakitangan kerajaan antara yang di tahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau dalam Ops Cegah yang dijalankan di sebuah kampung di Sook dan juga sekitar Keningau.

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata sepanjang operasi yang dijalankan pada malam Selasa berkenaan turut menahan dua individu lain.

“Keempat-empat yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 kerana kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine atau pun Syabu.

“Kesemua suspek lelaki berkenaan berumur lingkungan 31 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya operasi yang dijalankan adalah berdasarkan sumber maklumat dan risikan yang diperolehi dalam tempoh seminggu.

Mengulas berkaitan tangkapan melibatkan kakitangan awam, Azry berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan bertindak tanpa memilih status seseorang suspek.

“Tangkapan mesti dibuat bagi menimbulkan rasa kesedaran terhadap kesemua penagih yang telah ditangkap oleh AADK.

“Saya sarankan kepada pihak majikan agar sentiasa peka dan mengalu-alukan inisiatif ketua-ketua jabatan untuk mengadakan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) bersama AADK pada setiap tahun dalam usaha memastikan program pencegahan dadah dilaksanakan di tempat kerja masing-masing,” katanya.

Sementara itu, jelasnya sepanjang operasi berkenaan juga, seorang suspek yang berumur 50 tahun berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak penguatkuasa AADK datang menghampiri rumah kediamannya.

“Suspek yang juga dipercayai sebagai ‘tokan kecil-kecilan’ itu sanggup melarikan diri dengan meninggalkan isteri dan tiga orang anak kecil dalam operasi berkenaan,” jelasnya. -SabahNewsToday