Pilih Bahasa

Penjawat awam boleh pakai baju tradisi ke pejabat setiap Khamis – Madius

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata para penjawat awam dibenarkan menggunakan pakaian tradisi etnik Sabah ke pejabat pada setiap hari Khamis.

“Pada dasarnya, perkara ini sudah dipersetujui. Setiap Khamis silalah berpakaian tradisi ke pejabat. Itu budaya kita, wajar ia diterima sebagai salah satu pakaian rasmi ke pejabat awam,” tegas beliau.

Ribuan yang menghadiri Kaamatan UPKO berbusana pelbagai etnik bersama dengan Madius, Presiden Kehormat UPKO, Tan Sri Bernard Dompok dan para pemimpin parti yang lain. Gambar SNT/Ihsan Upko

Menurutnya, dalam Persidangan Perwakilan Tritahunan Upko 2018, para perwakilan telah meluluskan usul menjadikan busana tradisi etnik Sabah sebagai pakaian rasmi pada majlis rasmi Kerajaan.

“Kami mengesyorkan kepada Kerajaan supaya pakaian tradisi etnik Sabah dijadikan pakaian rasmi dalam majlis Kerajaan dan pada hari-hari tertentu temasuk untuk ke pejabat. Syukurlah, busana tradisi kita menjadi sebahagian daripada kod pakaian rasmi,” kata beliau yang juga presiden Upko.

Madius (kiri) dan Presiden Kehormat Upko, Tan Sri Bernard Dompok berpakaian tradisi ketika menghadiri Kaamatan UPKO 2019 di Dataran Telupid hujung minggu lalu. Gambar SNT/Ihsan Upko

Madius berkata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri telah mengiktiraf perkara ini dalam ucapannya semasa Majlis Penutupan Tadau Kaamatan Peringkat Negeri pada 31 Mei lalu.

Madius berkata demikian kepada wartawan di sini hari ini ketika diminta mengulas ucapan beliau semasa merasmikan Kaamatan Upko 2019 di Dataran Telupid pada pagi Sabtu lalu.

“Dalam Kaamatan Upko Sabtu lalu saya terharu, sangat gembira melihat kepelbagaian pakaian tradisi yang diperagakan bukan sahaja oleh peserta Unduk Ngadau, tetapi para peserta Rombituon dan masyarakat awam. Kita pulihara keunikan dan kepelbagaian ini,” ujar beliau.

Acara mongomot sebagai gimik perasmian di Kaamatan Upko 2019 di Telupid pada Sabtu lalu. Gambar SNT/Ihsan Upko

Madius setuju dengan pandangan Ketua Menteri bahawa perkembangan terbaharu ini berpotensi untuk mempertingkatkan lagi ekonomi masyarakat terutama yang terlibat secara langsung dengan pembuatan busana suku kaum di Sabah, selain mencipta peluang pekerjaan.

Ketika ditanya samaada pakaian itu termasuk menggunakan sigar bagi lelaki dan segala sirung, penutup kepala dan kelengkapan seperti limpogot dan tangkong bagi wanita, Madius berkata:

“Bah, kalau busana, ini bermakna pakaian tradisi yang lengkap. Kita cuba berpakaian selengkap yang boleh.”-SabahNewsToday