Pilih Bahasa

Penjenayah bertopeng samun, pecah rumah ditembak mati

Oleh Junaidi Ladjana

Nasri (tengah) menunjukkan samurai yang dirampas selepas menembak mati seorang penjenayah di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Palm Height, Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

LAHAD DATU: Hanya selepas 15 minit melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan kebun kelapa sawit selepas melakukan samun dan pecah rumah di Taman Palm Height di sini, seorang penjenayah ditembak mati awal pagi tadi.

Suspek warga Indonesia, 28, yang memakai topeng maut akibat terkena dua das tembakan pada bahagian badannya ketika cuma menyerang anggota polis menggunakan samurai kira-kira pukul 3.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata sebelum kejadian pihaknya sedang menjalankan Ops Ambang di Sekitar Jalan POIC dan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan cuba samun dan pecah rumah.

Anggota polis mengangkat mayat suspek lelaki yang ditembak mati selepas menyerang anggota polis dengan samurai berhampiran Taman Palm Height, Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

“Sebaik menerima maklumat, saya bersama pasukan polis bergegas ke lokasi lalu bertembung dengan dengan seorang lelaki (suspek) di kawasan ladang kelapa sawit dibelakang taman perumahan berkenaan dalam keadaan mencurigakan sambil memakai topeng dan membawa semurai.

“Pasukan polis kemudian menghampiri lelaki itu untuk pemeriksaan namun suspek terus melarikan diri ke dalam kawasan kebun kelapa sawit,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini hari ini.

Nasri berkata pasukan polis terus mengejar suspek dan mengarahkannya supaya berhenti tetapi tidak diendahkan dan terus melarikan diri.

“Ketika tiba di lokasi suspek cuba bersembunyi di belakang pokok kelapa sawit. Menyedari kehadiran polis semakin dekat, suspek terus bertindak melibas-libas samurai ke arah anggota serbuan.

Suspek maut ditembak selepas menyerang polis menggunakan samurai. – Gambar SNT/Ihsan PDRM

“Dalam keadaan mengancam nyawa dalam jarak begitu dekat, anggota polis terus melepaskan dua das tembakan ke arah suspek hingga menyebabkan dia rebah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

“Pemeriksaan mendapati suspek memakai topeng dan polis turut menemui sebilah samurai yang digunakan ketika kejadian,” katanya.

Menurutnya lagi, mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini suspek belum dikenal pasti kerana ketika pemeriksaan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

“Sehubungan itu polis meminta ahli keluarga suspek untuk tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh. – SabahNewsToday