Pilih Bahasa

Penjenayah lari selepas dengar bunyi hon

Oleh Junaidi Ladjana

Mangsa cedera ditangan selepas cuba disamun tiga lelaki. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

PENAMPANG: Bunyi hon kereta berjaya menyelamatkan seorang pemandu teksi daripada mangsa samun tiga lelaki yang juga penumpangnya dalam kejadian berhampiran Bulatan pekan Donggongon, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 11 mangsa berusia 76 tahun hanya cedera ringan pada pergelangan tangan dan lengannya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata siasatan awal mendapati mangsa menumpangkan tiga lelaki dari Kampung Air, Kota Kinabalu ke pekan Donggongon.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran Pasar Am pekan Donggongon, mangsa cuba meminta wang tambang salah kepada penumpang terbabit.

“Secara tiba-tiba seorang suspek duduk di bahagian belakang bertindak mencekik mangsa serta meminta supaya menyerahkan dompet milik mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya susulan itu mangsa menjerit meminta tolong dan membunyikan hon kereta menyebabkan orang ramai mula sedar.

“Menyedari keadaan itu, ketiga-tiga suspek melarikan diri ke arah pekan Donggongon. Usaha sedang dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek terbabit,” katanya.

Mohd Haris berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. – SabahNewsToday