Pilih Bahasa

Penolakan pindaan RUU perlembagaan satu tragedi: Madius

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang “sangat sedih dan terkilan” berharap Jawatankuasa Pemandu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan bermesyuarat secepat mungkin.

“Saya sangat sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam. Sedih kerana detik bersejarah untuk Malaysia terutama Sabah dan Sarawak tidak tercapai; terkilan kerana ada Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang tidak menyokong supaya semangat dan niat MA63 dimasukkan kembali ke Perlembagaan Persekutuan. Semalam itu adalah satu tragedi,” tegas beliau.

Madius (kanan) bersama Shafie, Ahli Parlimen Petrajaya, Dato Sri Fadillah Yusof dalam pertemuan dengan Perdana Menteri di Parlimen kelmarin. Gambar SNT/Ihsan KP&I

“Apa pun, saya hormati pendirian mereka (Ahli Parlimen yang tidak menyokong); biarlah rakyat yang menilai mereka. Bagi saya, yang penting kini bukanlah untuk kekal kecil hati tetapi malah lebih komited berjuang terutama dalam Jawatankuasa Pemandu. Semoga mesyuarat akan diadakan secepatnya,” kata Ahli Parlimen Tuaran itu di sini hari ini.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri, akan berjumpa dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam masa terdekat untuk berbincang lebih lanjut langkah yang wajar diambil oleh Kerajaan Sabah terutama selepas ‘tragedi’ yang berlaku.

“Bagi pihak warga Tuaran, dan ahli Upko, saya berterima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri; cukup jelas keikhlasan beliau untuk mengembalikan equal partners status kepada tiga entiti – Semenanjung, Sabah dan Sarawak – berlandaskan MA63,” tambah beliau.

“Saya berjumpa Perdana Menteri pada 7 April; saya berjumpa beliau lagi petang kelmarin (9 April); beliau sangat terbuka dan bersungguh-sungguh. Buktinya, selepas pandangan negatit terhadap Bacaan Pertama, beliau mengubah teks dalam Bacaan Kedua, itu yang dia bentangkan semalam. Malangnya, segala usaha itu sia-sia,” kata Madius.

Beliau berharap Jawatankuasa Pilihan Khas dikalangan Ahli Parlimen akan diwujudkan segera dan diwakili dalam Jawatankuasa Pemandu sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“Kepada ahli-ahli Upko dan warga Sabah secara keseluruhan, mohon bertenang. Selaku ahli Kabinet Sabah, saya sendiri juga akan terus memperjuangkan aspirasi dan kehendak rakyat,” ujar Madius yang juga presiden Upko.-SabahNewsToday