Pilih Bahasa

Penubuhan kesatuan pelajar dapat kembang potensi kepimpinan pelajar di UMS

KOTA KINABALU, 17 Julai (Bernama) — Penubuhan kesatuan pelajar dapat mengembangkan potensi pelajar dalam bidang kepimpinan di samping akademik, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk K. Y. Mustafa.

Beliau berkata pihak UMS menyokong usaha memperkasa peranan pelajarnya melalui penubuhan kesatuan itu di universiti berkenaan.

Datuk KY Mustafa. Gambar Bernama

“Sebagaimana yang pernah disebut dalam Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik awal tahun ini, kesatuan pelajar akan memberi ruang kepada para pelajar untuk memimpin, mentadbir urus hal ehwal pelajar dan terlibat secara langsung dalam penggubalan polisi universiti.

“Kita sentiasa memberi ruang kepada para pelajar menyuarakan apa jua perkara khususnya berkenaan hal ehwal pelajar kerana kita melihat para pelajar sebagai pemimpin masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ruang Pejabat Kesatuan Pelajar UMS di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Muhd Jivean Johan Wira berkata pejabat Kesatuan Pelajar UMS itu akan beroperasi sepenuhnya pada September ini selepas proses undian ahli diadakan.

Katanya pihak MPP akan menyelenggara dan menyelia organisasi berkenaan sementara waktu sehingga September ini.

— BERNAMA