Pilih Bahasa

Penubuhan Media City kekalkan RTM sebagai stesen unggul: Muis

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: RTM kini mengorak langkah mencapai transformasi bagi memastikan stesen penyiaran kekal relevan serta berdaya maju di masa depan di negara ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Abdul Muis Shefii berkata ini selaras dengan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo agar RTM bersaing secara sihat dengan stesen swasta tempatan di peringkat antarabangsa.

Nor Yahati (tengah) bergambar kenangan bersama pegawai RTM Sabah. Gambar SNT/Zakaria Damit

Katanya RTM juga akan menampilkan stesen radio secara visual di televisyen dengan melaksanakan penggunaan teknologi 5G dalam tempoh terdekat.

“Usaha ini akan dapat membantu RTM untuk menyampaikan maklumat serta berita dari setiap negeri dengan lebih pantas serta berkesan selaras dengan fungsinya sebagai stesen penyiaran unggul di negara ini.

“RTM juga dilihat kehadapan bagi membangunkan projek Media City di Angkasapuri dengan mengambil konsep serta idea daripada bandar media di luar negara ataupun United Kingdom bagi menaik taraf dua saluran transmisi analog kepada 10 saluran digital (HD),” katanya.

Nor Yahati Awang. Gambar SNT/Zakaria Damit

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Rakaman Khas Salam Aidilfitri di Ruang Legar KKMM di Kota Kinabalu hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategi) Nor Yahati Awang.

Muis berkata RTM Sabah juga tidak terkecuali dalam pembangunan Media City ini sekaligus akan menaik taraf beberapa siaran berita di stesen utama di negeri ini.

Projek ini bakal dilengkapi dengan kemudian infrastrukstur moden dengan perubahan teknologi semasa ke arah mencapai rangkaian tv digital yang komprehensif.

Nor Yahati menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak. Gambar SNT/Zakaria Damit

“Projek Media City ini dijangka menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan infrastruktur penyiaran kebangsaan sekaligus merupakan rancangan KKMM bagi melaksanakan sepenuhnya teknologi penyiaraan digital di negara ini,” katanya.

Muis menambah setiap warga RTM perlu bangga serta berganding bahu bagi merealisasikan perancangan dan program anjuran jabatan bagi memastikan RTM kekal sebagai stesen penyiaran unggul di negara ini.-SabahNewsToday