Pilih Bahasa

Penuhi keperluan rakyat satu tanggungjawab: Jamawi

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (duduk, kanan) melayan orang ramai yang berurusan di sebuah jabatan pada program Hari Bertemu Pelanggan. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

KEMABONG : Jabatan dan agensi kerajaan perlu kerap mengadakan program hari bertemu pelanggan bagi memperkasakan perkhidmatan awam di negari  ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar  berkata rakyat adalah pelanggan yang harus dijaga sebaik mungkin daripada pelbagai aspek.

“Bagi kami yang dipilih rakyat kami melihat bahawa kerja dan tanggungjawab kami adalah memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh rakyat.

“Sebab itu kita katakan bertemu dengan rakyat menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita supaya rakyat dari semasa ke semasa dapat bertemu dengan pihak yang bertanggungjawab terhadap keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  ditemui di program Hari  Bertemu Pelanggan peringkat daerah kecil Kemabong di dataran Kemabong, semalam.

Pada masa sama Jamawi memberitahu, menerusi program itu juga rakyat dapat menyuarakan cadangan dan rintihan untuk diselesaikan.

” Program seperti ini amat bermakna buat rakyat apalagi mereka yang jauh tinggal di kawasan  luar bandar  yang kurang mendapat maklumat mengenai dasar serta program program kerajaan selain bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan” jelas Jamawi

Selain itu, beliau berkata pembangunan daerah Kemabong akan bergerak maju ke hadapan dan akan menjadi satu pusat pertumbuhan baharu kepada rakyat .

“Daerah kecil Kemabong akan bergerak maju ke hadapan melalui pelbagai sektor antaranya pertanian dan pelancongan yang sememangnya berpotensi dimajukan di kawasan ini dan menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi rakyat ” katanya.

Menurut Jamawi apabila terlaksananya beberapa projek mega seperti naik taraf jalan raya antara Pekan Kemabong ke Rundum Highlands yang menelan belanja RM212 juta dan RM 179 juta bagi projek naik taraf jalan raya Kampung Ulu Tomani, pembinaan Projek Hidro Telekosang Kemabong yang menelan belanja sekitar RM450 juta akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di daerah itu. – SabahNewsToday