Pilih Bahasa

Penumpang maut bertembung dengan motosikal

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pasukan perubatan memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dinaikinya jenis Perodua Kancil terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal jenis Yamaha di simpang sebuah pasaraya di Merotai tengah hari tadi. 

Mangsa berusia dalam lingkungan 30an  tersepit di bahagian tempat duduk penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal, Muhammad Razali Saaibu, 21, koma dan masih dirawat di Hospital Tawau. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, penunggang motosikal sedang dalam perjalanan menghala ke rumahnya di Lorong Seri Delima manakala pemandu dan mangsa dari arah Kalabakan menuju ke bandar Tawau.

Orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang maut di lokasi kejadian. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Kancil secara tiba-tiba memasuki lorong di sebelah kanan menyebabkan penunggang dari arah hadapan tidak dapat mengelak  dan melanggar bahagian penumpang hadapan.

“Akibat kemalangan itu penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal masih masih koma dan dirawat di wad kecemasan Hospital Tawau. Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu tidak mengenali mangsa dan hanya berjumpa dengan mangsa di Brumas. 

“Hasil soal siasat terhadap pemandu, mangsa yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri berjumpa dengan pemandu di Brumas dan meminta izin menumpang kenderaan itu ke Merotai. 

“Bagaimanapun kita menahan pemandu bagi membantu siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” jelasnya. 

Tambahnya setakat ini tiada keluarga atau waris mangsa datang menuntut mayat.

Motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa yang masih koma dan dirawat di wad kecemasan Hospital Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata pihaknya menerima panggilan pukul 12.03 tengah hari.

Enam anggota dan seorang pegawai bertindak ke lokasi kejadian menaiki dua jentera penyelamat. 

Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba menjalankan misi menyelamat mangsa yang tersepit dan disahkan meninggal dunia.

Pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan dan operasi tamatkan pukul 1 tengah hari. – SabahNewsToday