Pilih Bahasa

Penunggang maut dirempuh kenderaan terbabas terlanggar takungan air

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah kenderaan yang terbabas ke lorong bertentangan selepas terlanggar takungan air atas jalan raya di Kilometer 21 Jalan Papar Lama di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa berusia 22 tahun yang menunggang Motosikal jenis Honda Wave maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa selepas dirempuh kenderaan Isuzu D Max di Kilometer 21 Jalan Papar Lama, Papar. – Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis pacuan empat roda Isuzu D Max yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun bergerak dari arah Beaufort menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya kenderaan Isuzu DMAX berkenaan gagal dikawal selepas terlanggar takungan air di atas jalan raya sehingga menyebabkannya terbabas dan masuk ke lorong bertentangan.

“Ketika kejadian hujan sangat lebat dan kenderaan pacuan empat roda yang gagal dikawal terus terbabas dan merempuh motosikal mangsa.

Kenderaan Isuzu D Max yang terbabas lalu bertembung motosikal ditunggang mangsa. – Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Batholomew berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.

“Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu dengan melulu dan berbahaya,” katanya. – SabahNewsToday