Pilih Bahasa

Penunggang maut, motosikal berkuasa tinggi bertembung lori

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Benoni, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Abdul Manan Mumin, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah dibahagian badannya.

Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mangsa selepas bertembung dengan lori 10 tan di Jalan Benoni, Papar. Gambar SNT / Ihsan bomba

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah hari.

“Sepasukan lapan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Penunggang motosikal berkuasa tinggi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba dilokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Operasi tamat pada jam 12.58 tengah hari,” katanya. -SabahNewsToday