Pilih Bahasa

Penunggang maut, pembonceng parah rempuh belakang Proton Waja sedang parkir

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang penyelia kilang maut manakala rakannya parah apabila motosikal jenis Kawasaki yang dinaiki merempuh belakang kenderaan jenis Proton Waja yang sedang berhenti di bahu jalan, di Batu 5 Jalan Apas, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa yang maut dikenali Vincent Poon Kar Fatt, 41, manakala rakannya yang parah dan masih menerima rawatan di Hospital Besar Tawau, Alshariff Rakib, 29.

Mangsa tercampak kira-kira enam meter dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal sedang menuju ke Batu 4 Jalan Apas bersama rakannya.

“Tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu merempuh belakang kenderaan jenis Proton Waja yang berhenti di bahu jalan.

“Pemandu kenderaan Proton Waja ketika itu sedang membantu seorang pemilik kenderaan lain menukar tayar yang pancit.

Motosikal Kawasaki mengalami kerosakan teruk akibat impak rempuhan. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak kira-kira enam meter dari lokasi kejadian manakala rakannya tercampak ke pembahagi jalan.

“Mangsa maut di tempat kejadian manakala rakannya masih dirawat di Wad Kecemasan Hospital Besar Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Azizulkifli Mansor berkata mangsa dan rakannya juga didapati tidak menggunakan topi keledar.

“Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” katanya. – SabahNewsToday