Pilih Bahasa

Penunggang motor tercampak, maut dilanggar kereta dari arah bertentangan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal dan kenderaan jenis Toyota Hilux, di hadapan sebuah sekolah, Jalan Sin Onn, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Junjun, 16, disahkan meninggal dunia sejurus selepas menerima rawatan di Hospital Tawau.

Lokasi mangsa dilanggar dari arah belakang dan tercampak sebelum dilanggar kenderaan dari arah bertentangan. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata dalam kejadian pukul 4.10 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Sym sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Tawau.

Katanya setibanya di lokasi kejadian, seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berusia 16 tahun secara tiba-tiba melanggar belakang motosikal mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan yang melalui jalan itu tidak sempat mengelak ekoran jarak yang dekat dan terlanggar mangsa.

Motosikal yang ditunggang mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi motosikal hingga mengakibatkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau manakala seorang lagi penunggang patah tulang jari kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua penunggang dan pemandu tidak disyaki mabuk.

Tambahnya hasil siasatan dan soal siasat saksi di lokasi kejadian, kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda yang mengekori rapat motosikal mangsa dan menunggang secara melulu hingga mengakibatkan kemalangan.

“Bedah siasat keatas mangsa dijalankan hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai,” jelasnya. – SabahNewsToday