Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut bertembung lori

Oleh Junaidi Ladjana

KENINGAU: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Tambunan – Keningau, hadapan Kompleks Sukan Tambunan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan di Tambunan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa menunggang motosikal berseorangan dari arah Keningau menuju ke Tambunan manakala lori dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan dihadapan lalu merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan turut berada di lokasi kemalangan. – SabahNewsToday