Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa Yusuf Hussin, 42, tercampak ke dalam semak dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala rakannya Radjuddin Jamaluddin cedera.

Keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh dan diheret. Gambar SNT / Sumber Media Sosial

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata hasil siasatan awal mendapati pemandu jip jenis Nissan Safari berusia 44 tahun sedang dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Sri Indah manakala mangsa dan rakannya dari arah bertentangan.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 C tidak dapat mengelak lalu dirempuh kenderaan terbabit dan diheret sebelum tercampak sejauh 17 meter ke dalam semak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pemandu disyaki mabuk dan merempuh motosikal mangsa sebelum terbabas. Gambar SNT / Sumber media sosial

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya cedera dan menerima rawatan di Hospital Tawau.

Katanya pemandu berkenaan turut cedera di bahagian tulang belakang dan menerima rawatan di hospital sama.

Mengulas lanjut, Peter berkata hasil siasatan mendapati pemandu disyaki mabuk dan sampel darah sudah diambil untuk mengesan alkohol.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kematian,” katanya. – SabahNewsToday