Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut, kemalangan di Jalan Keningau-Tenom

Oleh Alfred Petrus

KENINGAU: Seorang pemuda tempatan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 27 Jalan Keningau-Tenom.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu membabitkan kenderaan jenis Toyota Revo dan motosikal.

Pegawai perubatan membuat pemeriksaan terhadap mangsa di tempat kejadian. Gambar SNT/Ihsan Polis Keningau

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Polis, Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa, Jaidin Jamain, 26, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Dalam pada itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Keningau.

Siasatan polis mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa dilanggar dari arah belakang oleh Toyota Revo yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berumur 84 tahun.

Kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah Tenom menuju ke Keningau.

Keadaan Toyota Revo selepas kemalangan terbabit. Gambar SNT/Ihsan Polis Keningau

“Akibat daripada kemalangan terbabit, mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia.

“Manakala, pemandu Toyota Revo tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Siasatan berkenaan kes tersebut akan diteruskan. -SabahNewsToday