Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut langgar kereta

Oleh Junaidi Ladjana

Mangsa yang parah menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Limbawang Bypass di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 6.20 malam itu mangsa Abdul Rasyid Rasyid Oka, 57, warga Indonesia dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari tempat kerja sebelum terbabit kemalangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari arah Beaufort menuju ke arah Kampung Limbawang manakala motosikal ditunggang mangsa dari arah Kampung Mempagar menuju ke Kampung Kubu.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan di Jalan Limbawang Bypass, Beaufort. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Iswara yang sedang bergerak di laluan utama dilanggar dibahagian tepi sebelah kiri oleh motosikal mangsa yang keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah dibahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Beaufort manakala pemandu Proton Iswara tidak cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday