Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut rempuh Perodua Kenari dan tembok konkrit di Kota Belud

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan melibatkan motosikal jenis Benelli dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari di Jalan Kompleks Sukan Botong, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata kemalangan tersebut berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Keadaan di tempat kejadian. Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

Siasatan awal mendapati, Perodua Kenari tersebut dari arah Pekan Kota Belud menuju ke Jalan Kompleks Sukan Botong.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, Perodua Kenari tersebut memberikan isyarat hendak masuk ke simpang sebelah kanan dan terdapat dua buah kenderaan di belakangnya.

“Apabila Perodua Kenari itu sedang membelok ke kanan, mangsa, Rizal Lerry Bin Jesferi yang berumur 25 tahun dari arah belakang memotong dua buah kenderaan di belakang Perodua Kenari.

Tetapi mangsa terlanggar bahagian tepi sebelah kanan Perodua Kenari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat dari impak perlanggaran, Perodua Kenari tersebut terbalik manakala, motosikal terbabas dan terlanggar tembok konkrit di tepi jalan.

Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh “Carotid Arteries Transection” (kecederaan parah di bahagian leher).

Manakala, pemandu Perodua Kenari hanya mengalami cedera ringan di bahagian dagu sementara penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sabah News Today