Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut terlanggar pembahagi jalan

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar pembahagi jalan ketika dipercayai cuba memotong sebuah lori di Kilometer 13 Jalan Papar – Beaufort, berhampiran Terminal Minyak dan Gas ( SOGT) Kimanis, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa berusia lingkungan 50 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala.

Caption:
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi melanggar pembahagi jalan di Kilometer 13, Jalan Papar – Beaufort, malam tadi. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata mangsa sebelum itu menunggang motosikal jenis Keeway Eagle 250 dari arah Labuan menuju ke Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori jenis Isuzu 3 tan namun motosikal mangsa terlanggar pembahagi jalan tengah lalu jatuh di atas jalan raya.

Motosikal jenis Keeway Eagle 250 milik mangsa. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk dibahagian kepala,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dirujuk ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -SabahNewsToday