Pilih Bahasa

Penunggang motosikal maut

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala motosikal tercampak ke dalam longkang. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di Batu 3 Jalan Apas di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 12.16 tengah malam itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Balung manakala suspek dari arah bertentangan dan hendak melakukan pusingan U di lokasi kejadian.

“Pemandu kenderaan kemudian melakukan pusingan U secara tiba-tiba hingga menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak akibat jarak terlalu dekat.

“Mangsa tercampak ke bahu jalan dan motosikal mangsa tercampak ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataannya.

Bagaimanapun pemandu kenderaan terbabit meneruskan perjalanan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lagi kenderaan kira-kira 800 meter (m) dari lokasi kejadian pertama.

Lokasi kemalangan ketika pemandu Proton Saga cuba melakukan pusingan U. – Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Akibat kejadian itu, kenderaan dipandu suspek tercampak ke dalam longkang.

“Suspek kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pukul 9 pagi tadi dan suspek mengalami kecederaan patah bahu bahagian kanan,” jelasnya.

Peter berkata suspek tidak disyaki mabuk namun pemandu berusia 37 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan sampel darah diambil bagi ujian alkohol.

Katanta kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai hingga menyebabkan kematian. – SabahNewsToday